Negeri

Selangor peruntukkan RM5.2 juta, pasang 725 lampu LED untuk keselesaan rakyat

Bagi memastikan keselesaan rakyatnya, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM5.2 juta bagi pemasangan 752 lampu diod pemancar cahaya (LED) di seluruh negeri itu.

Peruntukan itu bagi memasang 382 unit LED dengan nilai RM2.3 juta tahun lalu manakala 370 unit lagi telah siap dipasang setakat ini dengan peruntukan RM2.9 juta.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata projek fasa dua ini dijangka siap hujung bulan dengan anggaran setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terima antara 10 hingga 13 unit LED

“Kita mendapat maklum balas yang baik dari pengguna jalan kerana persekitaran lebih terang sekali gus dapat mengelakkan kemalangan dan sebarang kejadian bahaya,” katanya selepas meninjau kerja pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Puncak Perdana pada Rabu.

Selain dipasang sebagai lampu jalan, unit LED tersebut dipasang di kawasan gelap lain termasuk taman permainan.

Menerusi Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar mengumumkan RM28 juta diperuntukkan bawah inisiatif Projek Selangor Penyayang (PSP) sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan PSP diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.

Pada persidangan Dewan Negeri Selangor Mac lalu, EXCO Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata Kerajaan Negeri akan membekalkan lebih 1,000 lampu LED berkuasa solar di seluruh 56 DUN.

Related Articles

Back to top button