Nasional

Warga Felda sambut baik pengumuman Perdana Menteri

Pengumuman inisiatif dan insentif kepada warga Felda oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah memberi kelegaan kepada golongan peneroka.

Rata-rata warga Felda di Pahang, Melaka dan Perlis, melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam usaha meningkatkan kualiti hidup dan memelihara kebajikan mereka, termasuk dalam aspek penyediaan infrastruktur, penjagaan kesihatan, pendigitalan dan perumahan.

Ketua Felda Selancar 3 Rompin, Kordi Hussin, 65 dipetik laporan Berita Harian berkata pengumuman Anwar membuktikan Perdana Menteri itu amat mengambil berat terhadap golongan peneroka.

“Permintaan kami berhubung lampu jalan dan isu rumah generasi baharu yang terbengkalai antara yang diberi perhatian dan (projek ini) memberikan manfaat besar.

“Kami amat bersyukur dan gembira dengan pengumuman inisiatif ini,” katanya

Pada Sambutan Hari Peneroka Felda semalam, Anwar mengumumkan program Digital MADANI, penyelesaian isu Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), usaha membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain dan menyatakan komitmen untuk melupuskan 80 peratus hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Beliau turut mengumumkan Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) yang melibatkan peruntukan RM21.21 juta, pembinaan pusat hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta, perbelanjaan untuk kos operasi lampu jalan dengan implikasi kewangan RM7.7 juta setahun dan subsidi diesel RM36 juta setahun bagi tiga Felda di Sabah.

Pengumuman itu turut menarik perhatian peneroka generasi pertama. Rahmah Mohamad dari Felda Rimba Mas, Perlis menyifatkan inisiatif kesihatan diumumkan menunjukkan keprihatinan terhadap peneroka ketika dihimpit desakan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“Alhamdulillah ia cukup bermakna bagi kami generasi peneroka yang kebanyakan telah berumur,” katanya yang kini berusia 73 tahun.

Berkongsi pendapat sama, Rozi Man, 67, turut mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan peneroka khususnya peneroka generasi pertama yang kebanyakannya warga emas.

Related Articles

Back to top button