Nasional

PM Anwar pertahan dakwaan Muhyiddin tak hapus hutang peneroka

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar menolak dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau telah pun mengetepikan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berbilion ringgit.

Mengulas kenyataan Muhyiddin pada Jumaat yang mendakwa pelupusan hutang itu telah dilakukan dilakukannya pada 2021, Anwar kembali mempersoalkan bagaimana ia melakukannya sedangkan pelupusan itu ditandatanganinya sendiri pada akhir bulan lalu.

“Mantan Perdana Menteri, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin membuat kenyataan Perdana Menteri berbohong kerana perkara ini sudah selesai sejak tahun 2021. Inilah masalah bila ada kuasa nak cari kontrak untuk anak pinak.

“Saya baru tandatangan akhir Jun, saya Menteri Kewangan tandatangan kelulusan ini. Jadi kamu (Muhyiddin) dah selesai tahun 2021 bagaimana, selesai di mana?” soalnya pada Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia (UUM), di Sintok pada Sabtu.

Anwar pada Hari Peneroka mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka FELDA sebenarnya tidak dilaksana oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan.

Anwar berkata walaupun terdapat perjanjian semasa pentadbiran PN, penstrukturan semula itu ketara tidak terdapat dalam Bajet 2021 dan Bajet 2022.

“Belanjawan 2021 dan 2022 tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan meluluskan hutang FELDA. Saya kekal dengan rekod ini,

“Hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang FELDA yang jumlahnya RM8.3 bilion,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button