Lebih baik kerajaan negeri sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, kata PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan peranan Kerajaan Persekutuan dalam pembangunan ekonomi negeri tidak boleh diremehkan terutamanya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Jelasnya, limpahan ekonomi yang dinikmati oleh setiap negeri termasuk di bawah kepimpinan pembangkang dirasai hasil daripada usaha oleh Kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan ke dalam negara.
“Di Kedah misalnya, Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) itu adalah usaha kerajaan persekutuan. Ya, tidak dinafikan ada sumbangan kerajaan negeri namun dana dan usaha itu banyaknya dari Persekutuan.
“Di Terengganu pula, hasilnya dari minyak dan gas di bawah kendalian Petronas. Petronas itu dibawah (perhatian) siapa? Menteri Kewangan,” katanya.
Tambah beliau, usaha berterusan membawa pelaburan dilakukan tanpa meminggirkan negeri di bawah kepimpinan pembangkang.
“Terbaru ada syarikat dari China berminat untuk membuat pelaburan. Ada cadangan untuk membawa pelaburan itu ke Johor, namun saya cadang untuk pertimbangkan negeri Terengganu.
“Terpulang siapa yang diundi dalam PRN tetapi lebih baik kalau kerajaan negeri itu sealiran dengan kerajaan persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan seorang mahasiswa pada program Temu Anwar Kedah mengenai pilihan kerajaan negeri menjelang PRN Ogos ini.
Kira-kira 5,000 pelajar dari universiti, politeknik dan sekolah menengah sekitar Kedah dan Perlis serta orang awam hadir ke program itu yang diadakan di Dewan Muadzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah.