Liputan Internet: Fahmi arah MCMC adakan sesi libat urus dengan universiti
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah diminta mengadakan sesi libat urus dengan semua bahagian pembangunan universiti dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, beliau juga telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital Datuk Mohamad Fauzi Md Isa untuk menyertai sesi libat urus itu bagi mengetahui keadaan internet di kampus sekaligus mencari penyelesaiaan bagi memantapkan kesalinghubungan liputan internet di kampus.
“Saya serah kepada MCMC untuk jemput wakil bahagian pembangunan institut pengajian tinggi awam (IPTA) supaya diadakan sesi tersebut,” katanya selepas meninjau keadaan Internet di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor kampus Dengkil pada Ahad.
Beliau sebelumnya diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar semasa Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok di Kedah dilaporkan meminta KKD segeri memberi keutamaan berkaitan kesalinghubungan internet yang lebih baik di kampus universiti seluruh negara.
“Insya-ALLAH, kita (KKD dan KPT) akan bekerjasama dan saya telah berbincang dengan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
“MCMC akan beri kerjasama penuh atasi masalah ini (Internet di kampus),” katanya.
Difahamkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertanggungjawab dalam aspek pengurusan internet di dalam kampus manakala KKD melibatkan ‘liputan luar’ iaitu pencawang.
Sementara itu sebagai mengulas capaian internet di UiTM kampus Dengkil Fahmi menjelaskan, kaedah pengurusan internet di universiti itu adalah baik dan wajar dijadikan rujukan untuk semua universiti.
Katanya, UiTM tersebut telah memperuntukkan RM3.38 juta untuk meningkatkan jumlah akses point dari 100 ke 200 unit manakala setiap dua bilik asrama dilengkapi dengan satu wi-fi router.
“Ini membolehkan pelajar dapatkan akses internet lebih baik dan lebih laju…sebagai rangkuman, saya lihat apa yang diusahakan di UiTM Dengkil ini mungkin boleh dijadikan ‘benchmark’ atau ‘template’ untuk dilaksana di kampus lain,” tambahnya.