Nasional

Tiada kaum akan terpinggir dari dapat peluang pendidikan – Fadhlina

KEMENTERIAN  Pendidikan (KPM) dibawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan memberi jaminan tidak akan meminggirkan mana-mana kaum untuk mendapat peluang pendidikan. 

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, walaupun kerajaan berpendirian mengekalkan sistem kuota Melayu dan bumiputera, peluang dalam pendidikan juga harus diberikan kepada pelajar daripada kaum lain.

Malah jelasnya, kerajaan turut akan terus berusaha menambah baik sistem sedia ada.

“Kita memang bersama dengan apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), tetapi pada masa yang sama di peringkat KPM kita ada banyak penambahbaikan dan saya ingin memberi jaminan bahawa kita tidak meminggirkan mana-mana bangsa (untuk belajar).

“Ini penting khususnya bagi Tingkatan Enam yang sedang kita lihat dan peluang lain untuk memastikan semua anak kita mendapat akses pendidikan yang sama. Jadi tiada siapa yang akan dipinggirkan,” katanya.

Ketua Wanita parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pertandingan Inovasi dan Robotik peringkat kebangsaan di Kulim pada Ahad. 

Terdahulu, Perdana Menteri dalam Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah pada Sabtu menjelaskan sistem kuota Melayu dan bumiputera dalam bidang pendidikan perlu dikekalkan.

Sebagai jawapan dari seorang pelajar, Anwar menegaskan sistem kuota bagi mengimbangi jumlah pelajar kaum itu di institusi pengajian tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina memaklumkan program yang ditawarkan kolej vokasional di bawah KPM mencapai kejayaan yang memberangsangkan apabila kebolehpasaran graduan pada kadar lebih 90 peratus ketika ini.

“Sukacita dimaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan kolej vokasional kami (KPM) telah melepasi 90 peratus dan kesemua 606 program diploma yang kami tawarkan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia dan Lembaga Teknologis Malaysia.

“Kita perlu hebahkan kepada orang ramai supaya mereka sedar peluang yang ditawarkan di kolej vokasional,” katanya.

Related Articles

Back to top button