Nasional

31 projek perumahan terbengkalai dipulihkan pada Mei

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan sebanyak 31 projek perumahan swasta sakit melibatkan 3,299 unit rumah dalam tempoh 1 hingga 31 Mei 2023, kata Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal Nasir berkata, daripada jumlah itu, 28 projek perumahan telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) manakala tiga lagi kembali lancar mengikut jadual pembinaan projek dan ianya dipulihkan menerusi Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai yang dipengerusikannya.

Beliau berkata, sejak Januari hingga Mei lalu pasukan itu berjaya memulihkan 149 projek perumahan swasta melibatkan 17,436 unit rumah bernilai RM15.2 bilion.

“Jumlah itu adalah 22.3 peratus daripada RM68.1 bilion (RM50.5 bilion projek perumahan swasta sakit dan RM17.6 bilion projek perumahan swasta lewat).

“Secara keseluruhan, Pasukan Khas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai telah mengenal pasti sebanyak 124 projek lewat, 471 projek sakit serta 112 projek terbengkalai,” katanya.

Untuk rekod, Jawatankuasa Bertindak Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai ditubuhkan pada 30 Dis 2022, yang bertujuan mencari pendekatan yang lebih berfokus dan strategik serta memberi impak positif dalam menyelesaikan isu projek sakit dan terbengkalai di negara ini.

“Jawatankuasa ini sentiasa bersedia menjadi pemudah cara dalam menyelesaikan urusan dengan kementerian (KPKT) termasuk agensi berkaitan bagi tujuan mempercepat proses penyiapan dan perolehan CCC,” katanya.

Akmal Nasir berkata, pasukan khas itu menunjukkan peningkatan pencapaian dari segi menambahbaik pelaporan status projek dengan mengambil kira nilai pembangunan kasar iaitu Nilai Pembangunan Kasar (GDV).

Menurutnya, mengambil kira GDV bagi projek lewat, sakit dan terbengkalai, pasukan khas itu akan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) untuk perbincangan yang lebih berfokus.

Mengenai kategori projek lewat pula, Akmal Nasir berkata setakat 31 Mei lepas, ia telah berkurangan daripada 141 projek kepada 124 projek.

-AA

Related Articles

Back to top button