Dasar karbon kebangsaan dilaksanakan tahun ini – Nik Nazmi
DASAR Karbon Kebangsaan yang bertujuan menyediakan panduan, seterusnya membantu usaha perdagangan karbon di peringkat negeri dijangka siap untuk dilaksanakan tahun ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan Jumaat ini bagi membentangkan status terkini dasar serta memperincikan skop perundangan yang perlu dilaksanakan di bawah kerangka dasar berkenaan.
“Mesyuarat ini akan turut dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri setiap negeri.
“Fungsi di peringkat persekutuan adalah sebagai pemudah cara (bagi aktiviti perdagangan karbon) di negeri terlibat, jadi kita akan sediakan dasar tersebut tahun ini dan asasnya akan dibentangkan dalam mesyuarat MyCAC pada minggu ini,” katanya memetik laporan Bernama.
Nik Nazmi berkata berdasarkan hasil perbincangan dalam mesyuarat berkenaan nanti, kerajaan akan turut meneliti keperluan penguatkuasaan undang-undang bagi aspek kawal selia dan pengewangan perniagaan karbon.
“(Perdagangan karbon) ini tidak memerlukan pindaan undang-undang kerana ia cuma melibatkan segi perundangan dan dasar sahaja,” katanya.
Menurutnya, kementerian giat mengadakan perbincangan berkaitan perdagangan karbon bersama kerajaan negeri memandangkan hal berkaitan tanah bagi penyimpanan karbon adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Pada 30 Jun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan sedang memperincikan cadangan untuk meletakkan aktiviti perniagaan karbon di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata buat masa ini, segala isu berkaitan dengan karbon berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).