Semasa

PM Anwar umum RM10 juta tambahan bagi bantuan guaman B40

Kerajaan Perpaduan mengumumkan RM10 juta untuk membantu orang susah mendapatkan bantuan guaman menerusi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejak 2012 yayasan berkenaan telah membantu ramai yang tidak berkemampuan mendapatkan khidmat peguam apabila berdepan pertuduhan di mahkamah.

“RM10 juta itu peruntukan untuk orang miskin yang tidak mampu membayar peguam. Saya lihat ramai, umpamanya kadang-kadang kes kecil tetapi tidak ada peguam.

“Tertangguh kerana tak dapat mempertahankan dan membela diri mereka. Saya tengok ramai sangat yang tak dapat peluang ini, memperolehi bantuan guaman,” katanya selepas hadir Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Anwar berkata kerajaan sentiasa mengiktiraf hak asasi semua pihak untuk menuntut keadilan, termasuk peranan dimainkan oleh Majlis Peguam.

“Bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, ia tidaklah boleh dilihat daripada prisma teori perundangan semata-mata kerana prinsip sedemikian tidak boleh direalisasi sekiranya orang di jalanan tidak sumber ekonomi yang mampu untuk mendapatkan akses keadilan.

“Dalam hal ini, saya memuji usaha gigih Majlis Peguam dalam menyediakan bantuan guaman, melalui skim yang ditubuhkan sejak lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, YBGK telah menjalankan peranan mereka dengan baik dan beliau akan terus melibatkan diri serta memberi pertimbangan serius terhadap pandangan Badan Peguam Malaysia berkaitan sistem perundangan negara.

-AA

Related Articles

Back to top button