Jangan mudah termakan retorik perkauman, gesa Adam Adli
RAKYAT Malaysia yang patriotik digesa agar mengabaikan retorik perkauman terbaharu cuba dibawa Dr Mahathir Mohammad.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abdul Halim berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Mahathir sebelum ini kononya tindakan mempromosi negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan menekankan kemelayuan Malaysia.
Beliau yang juga timbalan menteri belia dan sukan menegaskan, selama ini Malaysia telah diterima dan diuar-uarkan sebagai negara berbilang kaum.
Justeru kenyataan Mahathir itu jelasnya hanya merosakkan, dan rakyat diajak merenung kelakukan bekas perdana menteri itu mutakhir ini.
“Kita dah selesai dah perkara ini sebenarnya. Begitulah Tun, bercakap ikut kepentingan semasa dia. Kita tak boleh layan, rosak kita,” katanya dipetik laporan FMT.
Mahathir yang kalah teruk di Langkawi pada PRU15, kembali menjadi perhatian apabila mengasaskan Proklamasi Orang Melayu, dan memaklumkan akan berganding bahu dengan Perikatan Nasional untuk PRN akan datang.
Dalam kenyataan berkaitan ‘negara berbilang bangsa’ itu, Mahathir dilihat menggunakannya bagi menyerang pentadbiran Anwar Ibrahim apabila mengulangi retorik ancaman DAP kepada orang Melayu dan Islam.
Kenyataan Mahathir itu sendiri dikritik pakar-pakar perlembagaan.
Sementara itu menurut Adam sebalik kontroversi yang tercetus Mahathir itu, Adam berkata sekurang-kurangnya masyarakat hari ini boleh menilai sendiri kata-kata bekas Pengerusi Parti Bersatu itu.
Malah menurutnya, orang ramai wajar merenung kelakuan Mahathir mutakhir ini yang disifatkan sebagai merosakkan.
“Malaysia rumah untuk semua orang, dibangunkan untuk semua orang. Kita bukan bangsa yang kecil; kita ini bangsa besar – bangsa Malaysia. Mungkin kita lupa tapi orang luar sebut Malaysia negara yang berhasil menjaga keharmonian kaum.” tambah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu..