Pilihanraya

Tiada projek mi segera sempena PRN

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan mengumumkan ‘projek mi segera’ di sesuatu kawasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos depan.

Menurut beliau, arahan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan pengumuman projek sedemikian adalah sangat jelas dan tidak akan ada hal seumpamanya.

“Ada dua perkara apabila bercakap soal pengumuman projek ini. Saya rasa kita merujuk kepada projek mi segera di sesuatu lokaliti hanya kerana adanya pilihan raya.

“Perkara ini sudah dijelaskan, tidak akan ada (sebarang pengumuman) berkaitan hal tersebut. Arahan Perdana Menteri juga sangat jelas mengenainya,” katanya pada Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Rafizi menegaskan bahawa kerajaan persekutuan perlu meneruskan dasar negaranya.

“Kerajaan perlu berjalan dan kerajaan perlu meneruskan dasar kita. Kita tidak tahu bila PRN akan diadakan.

“Sebagai contoh, kementerian saya, kita ada Majlis Tindakan Ekonomi Negara setiap bulan. Yang seterusnya pada majlis itu adalah mengenai (dasar) gaji progresif.

“Dan jika ada pengumuman mengenai gaji progresif, ia tiada kaitan dengan PRN, ia hanya dasar,” katanya.

Pada masa sama, Rafizi percaya bahawa kerajaan akan mengimbangi kedua-dua perkara tersebut antara projek pembaikan segera semata-mata untuk pilihan raya dengan tugas hakiki sebagai sebuah kerajaan

Related Articles

Back to top button