Nasional

Insentif e-kredit tiket penerbangan buat pelajar IPTA diumumkan

Kerajaan Perpaduan bersetuju menanggung subsidi khusus bernilai RM300 kepada pelajar universiti awam bagi pembelian tiket penerbangan laluan domestik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika mengumumkan inisiatif itu berkata, langkah terbaharu ini bakal memanfaatkan lebih 56,000 pelajar dengan anggaran implikasi kos keseluruhan RM16.8 juta.

Bakal dilaksana bermula 15 Ogos ini, ia akan meliputi laluan penerbangan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kaedah pemberian ‘credit shell’ di mana syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus.

“adalah salah satu inisiatif kerajaan perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan, di samping menangani isu kos sara hidup,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Pada 30 Jun lalu Anthony Loke memaklumkan kepada media, sistem subsidi itu yang dirancang kerajaan bakal dibangunkan secara integrasi bersama syarikat penerbangan.

Ia susulan keluhan golongan tersebut yang berdepan beban kewangan susulan harga tiket penerbangan yang tinggi.

Sementara itu Anthony ketika mengulas lanjut mengenai insentif tersebut berkata, bagi melayakkan pelajar menerima subsidi tersebut, mereka disyaratkan sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada 2023, termasuk mengambil kira alamat tetap ketika menuntut sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Labuan.

“Tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober 2023. Namun, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan,” katanya sambil menjelaskan sekiranya harga tiket dibeli kurang dari RM300, baki baucer digital akan kekal dalam “credit shell” untuk digunakan bagi pembelian tiket seterusnya.

Related Articles

Back to top button