Politik

Lapor polis terkait hina Sultan, gesa tindakan tegas terhadap Sanusi – PKR Shah Alam

Tindakan tegas terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu diambil sebagai memberi pengajaran kepada parti politik agar tidak menggunakan pentas ceramah sebagai medan serangan dan penghinaan terhadap institusi diraja.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam, Suryamuizzudin Kamarudin berkata, Muhammad Sanusi telah menghina dan memperlekehkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam ucapan pada ceramah Perikatan Nasional baru-baru ini.

Menurutnya, ucapan Sanusi secara terang bersifat menghina Sultan Selangor itu tidak dapat diterima rakyat Selangor yang kasih dan menghormati institusi diraja di negeri ini.

“PKR Shah Alam menggesa pihak berkuasa untuk segera siasat serta ambil tindakan tegas terhadap Sanusi yang saban hari menjadikan pentas ceramah politik PN menghambur penghinaan terhadap pimpinan negara serta menyemai perpecahan dalam kalangan rakyat menerusi kenyataan-kenyataan beliau yang bersifat perkauman.

“Kami berharap pendirian tegas Kerajaan Perpaduan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang tuntas serta bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, negara tidak boleh dibiarkan musnah kerana politik perpecahan yang cuba dianjurkan pemimpin PN.

Tambahnya, PKR juga mendukung pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam menangani kelompok yang menggunakan isu-isu 3R (raja, kaum dan agama) untuk mencapai tujuan politik sempit.

PKR Shah Alam telah membuat laporan polis terhadap Sanusi berhubung kandungan ceramah tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 9.

Related Articles

Back to top button