Global

Malaysia gesa Asean kutuk tindakan junta Myanmar

Malaysia menggesa negara anggota Asean mengeluarkan kutukan keras terhadap tindakan junta Myanmar yang melakukan siri serangan udara dan pembunuhan.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, selain mengutarakan rasa prihatin, kutukan keras terhadap setiap tindakan junta perlu dilakukan kerana beberapa tindakan dilakukan junta telah memburukkan situasi di negara bergolak itu dan menyebabkan masalah pelarian dalaman.

“Kita telah tekankan supaya aspek kenyataan yang lebih keras dimasukkan dalam ‘pernyataan bersama’ yang akan dikeluarkan Asean,“ katanya dalam taklimat media selepas menghadiri sesi pemukiman menteri-menteri luar Asean di Jakarta pada Rabu.

Sementara itu jelas Dr Zambry, pada mesyuarat itu, menteri-menteri juga mengambil maklum usaha oleh negara anggota yang berusaha merintis perdamaian di Myanmar melalui perbincangan dan ‘penglibatan’.

Mereka juga mencapai kesepakatan bahawa setiap usaha perlu berdasarkan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan sebarang perbincangan secara tidak formal mestilah dirujuk kepada ASEAN untuk mengelakkannya menjadi ‘sepihak’.

“Semua negara Asean bersetuju secara konsensus bahawa semuanya mesti dirujuk kepada ASEAN yang sekarang dipengerusikan oleh Indonesia,“ kata Zambry, sambil menambah Thailand telah memaklumkan kepada gabungan negara serantau mengenai usaha yang dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau berkata meskipun ‘penglibatan’ ini penting tetapi ia bukan ‘pengiktirafan’ kerana sebarang pengiktirafan kepada junta perlu berdasarkan 5PC.

Related Articles

Back to top button