ekonomi

Pertemuan Anwar-Elon Musk bakal bawa impak positif – Penganalisis

Seorang penganalisis politik melihat pertemuan dirancang antara Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc, Elon Musk dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal membawa banyak faedah kepada ekonomi negara.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng menurut laporan Bernama berkata, ia bukan sahaja membawa peluang untuk golongan muda, malah kepada pembekal, penyedia perkhidmatan serta pengeluar alat ganti dan komponen untuk terbabit secara aktif dalam industri kenderaan elektrik (EV).

Menurutnya, sebarang komitmen yang bakal muncul hasil daripada pertemuan itu akan menyediakan industri EV Malaysia dengan rangsangan besar kepada pelaburan.

Ia juga akan memberikan implikasi positif kerana ia mengesahkan hala tuju ekonomi kerajaan untuk memperoleh pelaburan langsung asing (FDI) berimpak dan bernilai tinggi serta langkah ke arah tenaga bersih.

“Pelaburan ikonik biasanya mempunyai kesan limpahan yang lebih besar melalui peningkatan, pengukuhan keyakinan pelabur tempatan dan asing serta lebih banyak penyertaan dalam pelaburan.

“Jumlah FDI Malaysia akan terus meningkat sekiranya hasil daripada mesyuarat itu dapat memberikan Musk atau mana-mana projek beliau bertapak di negara ini,” jelasnya.

Anwar ketika berucap pada majlis amanat Perdana Menteri kepada penjawat awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban pada minggu lalu berkata, Musk menyatakan hasrat untuk bertemu dengan beliau minggu ini berhubung penambahan pelaburan di Malaysia.

Tesla, pereka dan pengilang EV yang beribu pejabat di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS) dijangka akan membuat kemunculan rasminya di Kuala Lumpur pada 20 Julai ini.

Related Articles

Back to top button