Semasa

Polis sahkan siasat Sanusi berkait 3R, didakwa hina Sultan Selangor – KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi kesalahan berkait kaum (race), agama (religion), dan raja (royalty) atau 3R, susulan dakwaan beliau menghina Sultan Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia susulan dakwaan pemimpin Pas itu dalam satu ceramah pada program jelajah baru-baru ini yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memandai-mandai dan menggunakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, siasatan akan mengambil masa tujuh hari.

“Kita ada pasukan petugas khas yang siasat kes-kes 3R.

“Polis melihat isu 3R ini kerap dimainkan apabila hampir kepada Pilihan Raya Negeri dan saya telah ingatkan, apa sahaja perkara berkaitan 3R akan disiasat,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.

Jelasnya, sebanyak 61 kertas siasatan melibatkan isu 3R sedang disiasat Bukit Aman ketika ini.

“61 kes telah direkodkan termasuk siasatan terhadap figura-figura politik antaranya Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng Dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi. Isu 3R ini ada juga pihak yang kadang-kadang terlampau seronok bercakap tak mengira perasaan orang, ini sepatutnya tidak berlaku.

“Apa-apa sahaja perkataan yang dikatakan kepada institusi diraja… kalau sayalah, kita akan sembah ampun pada Tuanku,” tegasnya.

Dalam ceramah itu, Menteri Besar Kedah itu mendakwa, tidak ada mana-mana media yang memaparkan Agong mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Sanusi dikatakan turut menghina Sultan Selangor atas urusan pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, selain beberapa serangan peribadi terhadap menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Related Articles

Back to top button