Semasa

Setiausaha politik PM buat laporan terhadap Chegubard, Wan Saiful kerana fitnah

SATU laporan polis difailkan Setiausaha politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Pengerusi Muafakat Nasonal (MN) Negeri Sembilan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

Melalui satu kenyataan dihantar kepada MediaMadani, Ahmad Farhan Fauzi berkata laporan itu yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Putrajaya bertujuan menyangkal dakwaan Chegubard yang mengeluarkan kenyataan palsu dan fitnah berkait kediaman Anwar di Sungai Long, Kajang.

Turut dinamakan dalam lapoan itu adalah Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen.

“Adalah jelas kesemua kenyataan-kenyataan tersebut adalah tidak berasas, berniat jahat dan bermotifkan politik.

“Bukti-bukti konklusif dan menyeluruh yang menyangkal sekeras-kerasnya kenyataan palsu tersebut akan dikemukakan kepada pihak polis dalam siasatan kelak,’ tegasnya dalam kenyataan tersebut.

Peguam Anwar, Datuk Sankara N Nair turut bersama Ahmad Farhan ketika membuat laporan tersebut. (Video)

Chegubard pada Selasa menggesa SPRM menyiasat pemilikan kediaman peribadi Anwar dengan mendakwa rumah di Sungai Long yang didiami itu adalah milik “tauke Cina yang penuh misteri”.

Isu tersebut kemudian didakwa digunakan Wan Saiful semasa “Ceramah Isu-isu Semasa Kawasan Jerlun” beberapa hari yang lepas.

Sementara itu Ahmad Farhan dalam kenyataan turut menggesa agar semua pihak berpegang kepada adab-adab di yang dianjurkan di dalam syariat Islam.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengingatkan diri sendiri dan semua pihak terutamanya saudara Muslim seagama bahawa selaku umat Islam dan orang yang beriman, kita hendaklah berpegang kepada adab-adab di yang dianjurkan di dalam syariat.

“Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum kerana kejahilan yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.

“Berdasarkan kepada ayat di atas, kita hendaklah berhati-hati apabila mendengar berita-berita terutamanya yang disampaikan oleh mereka yang diragui keperibadian dan akhlak mereka dengan ber”tabayyun” iaitu memeriksa dengan teliti berita yang disampaikan, bukannya menyebarkan berita-berita yang tidak sahih dan lebih teruk lagi mengolah dan menambah-nambah berita palsu tersebut dengan hasutan dan fitnah serta menyemai kebencian dan permusuhan,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button