Nasional

MCMC, PDRM kaji keperluan tubuh unit khas bendung sentimen 3R

Pihak berkuasa akan mengkaji keperluan untuk menubuhkan unit khas bagi meneliti kes-kes berkaitan dengan isu 3R (kaum, agama, raja), kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program Persidangan Antarabangsa Komunikasi, Budaya dan Media Kontemporari (GLOCOM) 2023, Fahmi berkata data yang dikeluarkan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berhubung Pilihan Raya Umum ke-15 mendapati sebilangan besar isu 3R dimainkan dalam tempoh yang begitu singkat dan ia adalah sesuatu yang amat membimbangkan.

“Sebab itu saya percaya MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) perlu menilai keperluan untuk mungkin menubuhkan unit khas… jenis politik terdesak yang menggunakan 3R semasa kempen (pilihan raya) ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya

Fahmi turut meluahkan rasa kecewanya berikutan tindakan segelintir ahli politik yang menggunakan bahan 3R dalam kempen mereka, walaupun Raja-raja Melayu telah bertitah supaya kempen politik tidak menyentuh perkara mengenai 3R ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga telah mengingatkan semua orang supaya mengelak daripada sensitiviti 3R semasa tempoh berkempen untuk pilihan raya negeri akan datang.

“Mereka yang terus memainkan isu 3R, saya rasa akan berhadapan dengan undang-undang. Amaran telah diberikan, saya rasa amaran yang mencukupi telah diberikan, itu sebabnya malam tadi saya telah katakan, siap-sedialah untuk hadapi akibatnya,” katanya.

Sementara itu ketika mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mempertimbangkan akta baharu bagi mengenakan hukuman sivil terhadap mereka yang memainkan sentimen 3R, Fahmi berkata beliau amat menyambut baik cadangan itu.

Related Articles

Back to top button