Anwar

Pelatih industri di pejabat kerajaan, GLC terima elaun RM800 sebulan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelajar yang menjalani latihan industri di pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan menerima elaun perantisan minimum RM800 sebulan.

Beliau berkata, biarpun secara tradisi pelatih industri tidak menerima sebarang bayaran, elaun itu penting terutama bagi mereka yang datang daripada keluarga tidak berkemampuan dan miskin.

Menurutnya, isu tersebut antara yang dibangkitkan mahasiswa ketika beliau melakukan beberapa sesi dialog bersama mereka sebelum ini.

“Jadi untuk permulaan, pelatih industri memang tiada bayaran, itu betul dan ini untuk pendedahan.

“Tetapi ada yang mereka datang daripada keluarga miskin, malah dalam beberapa dialog saya di universiti, mereka merayu, sudah habis belajar, tiada lagi pinjaman dan bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Jadi mereka terpaksa bergantung kepada ibu bapa. Justeru, untuk kerajaan dan syarikat GLC, elaun RM800 sebulan untuk semua pelatih industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Anwar sebelum ini menggesa syarikat yang menawarkan latihan industri kepada pelajar untuk memberikan elaun munasabah kepada kumpulan berkenaan.

Beliau berkata walaupun perkara itu bukan paksaan, namun syarikat perlu mempertimbangkan bayaran munasabah bagi membantu pelajar menampung perbelanjaan harian sepanjang tempoh latihan.

Dalam pada itu, Anwar akui cadangan memberikan elaun minimum kepada pelajar yang menjalani latihan industri itu merupakan satu perkara yang baik.

“Cadangan ini diberikan kepada saya oleh pelajar tingkatan enam.

“Walaupun kita perlu input daripada pakar-pakar ekonomi tetapi kadang-kadang pelajar tingkatan enam beri cadangan yang baik dan kita mesti perhalusi,” katanya.

Related Articles

Back to top button