Semasa

PM umum insentif baharu kukuh agensi penguatkuasaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada semua agensi penguatkuasaan.

Berucap pada Program Cakna MADANI Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis, Anwar berkata ia bagi mengukuhkan kelengkapan dan untuk menyokong operasi penguatkuasaan agensi terbabit.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan peruntukan tersebut akan diagihkan pada kadar segera.

“Jadi saya setuju untuk tahun ini, enam bulan ini kita peruntukkan RM100 juta untuk semua ini membantu mereka melengkapkan apa saja keperluan di pejabat atau jabatan mereka,” ujar beliau.

Sementara itu Anwar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.5 juta setahun menambah baik Elaun Pakaian Seragam Kumpulan Pengurusan dan Profesional enam agensi penguat kuasa.

Penambahbaikan itu adalah untuk enam agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Penambahbaikan ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun,” katanya.

Di majlis itu Anwar turut memberi jaminan aspek keselamatan, kebajikan anggota penguat kuasa diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Related Articles

Back to top button