Semasa

PN digesa fikir tawaran untuk rakyat, berhenti ulang cerita sama

Perikatan Nasional (PN) diingatkan bahawa hasil-hasil yang kini dinikmati oleh Kedah berpunca daripada pelaburan infrastruktur yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kulim Hi-Tech Park.

Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli melalui satu hantaran di Twitter berkata, pelaburan infastruktur itu sekali gus menolak sebarang dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan menganaktirikan Kedah.

“Yang PN tak pernah sebut ialah hasil-hasil yang kini dinikmati oleh Kedah berpunca daripada pelaburan infrastruktur yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kulim Hi-Tech Park.

“Yang PN tak pernah sebut ialah 80 peratus daripada hasil kerajaan negeri datang daripada kawasan perindustrian dan pembandaran sekitar Kulim Hi-Tech. Hasil inilah yang bayar untuk gaji dan pembelanjaan Kerajaan Negeri

“Buat apa Kerajaan Persekutuan nak mengetepikan Kedah? Dalam demokrasi, logiknya mudah – kita buat baik untuk rakyat agar rakyat terus memberi sokongan kepada kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Ekonomi dalam hantaran itu turut menjelaskan, Kulim Hi-Tech Park tidak muncul secara tiba-tiba dan ia memerlukan perancangan dan penelitian beberapa bulan dan tahun sebelum mula dibangun.

“Itulah tugas Kerajaan Persekutuan, untuk mengkaji dan mengenal pasti penyelesaian mendalam yang mampu membawa kemajuan kepada negeri secara jangka panjang,” tambahnya.

Beliau sementara itu menegaskan Kerajaan Persekutuan terutama dirinya sendiri sedia mendengar idea atau tawaran pembangunan munasabah untuk dilaksana.

Namun ia jelasnya wajar disertakan angka-angka atau kajian masuk akal.

“Jadi, buat masa sekarang, saya fikir lagi baik PN ambil masa fikir dan terang kepada rakyat apa tawaran dan idea mereka untuk bantu rakyat daripada ulang benda yang sama setiap hari,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button