Nasional

Kerajaan akan perkenal undang-undang anti-Ali Baba – Rafizi Ramli

Kerajaan akan memperkenalkan undang-undang anti-Ali Baba sebagai langkah pengharaman budaya itu dalam sektor ekonomi negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, negara dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM17 bilion hingga RM18 bilion kerana amalan tersebut.

Katanya, ini kerana terdapat perniagaan yang dimiliki oleh rakyat tempatan tetapi disewakan kepada warga asing selain pembinaan projek menjadi mahal ekoran ada pihak yang mengambil persen.

“Bina projek sepatutnya harga murah tapi sebaliknya berlaku. Cerita pasal budaya Ali Baba dalam ekonomi kita memang macam-macam.

“Kita kena hentikan amalan ini kerana ia boleh menjadi punca kepada rasuah dan ketirisan. Sebab itu, pandangan saya menangani budaya Ali Baba perlukan penyelesaian menyeluruh dan berstruktur,” ciapnya menerusi laman Twitter miliknya, hari ini.

Tambah beliau, menghapuskan budaya Ali Baba dalam sektor ekonomi tidak boleh sekadar cakap kosong tetapi perlu ada tindakan segera.

“Oleh itu, harapan saya dengan kerangka undang-undang ini, kita dapat selesaikan salah satu ketempangan utama ekonomi negara,” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang dalam tindakan merangka Dasar Anti Ali Baba (rent-seeking) dan mempercepat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata budaya Ali Baba memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti ini.

Related Articles

Back to top button