Semasa

Kes kematian kanak-kanak 10 tahun kini disiasat – Dr Zaliha

Kes kematian membabitkan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kini sedang disiasat pihak berkuasa.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa melalui hantaran Twitter berkata, semua pihak ketika ini diminta menghormati privasi keluarga terbabit.

“Kejadian tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan saya memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati privasi keluarga (Dea Maisarah),” katanya sambil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga.

Terdahulu, kisah Dea Maisarah mendapat perhatian selepas tular video di media sosial.

Bapanya, Bada Hussein menceritakan kronologi kematian anaknya pada 9 Julai lalu.

Beliau memaklumkan Dea Maisarah yang sedang demam dan selesema tiba-tiba mengalami sesak nafas kemudian dibawa ke HTAR pada hari yang sama.

Anaknya terpaksa menunggu sehingga 45 minit untuk mendapatkan rawatan sebelum kadar oksigennya didapati menurun.

Bada turut mendakwa berlaku kecuaian di pihak hospital apabila kaki dan tangan anaknya diikat kerana dikatakan meronta-ronta ketika doktor cuba mengambil darahnya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Bada turut mendakwa kakitangan hospital menyatakan dalam laporan polis yang dibuat bahawa Dea Maisarah sudah meninggal dunia apabila dibawa ke hospital.

Pada Khamis, Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi dilaporkan berkata, pihak hospital sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara itu.

“Punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik, HTAR,” katanya sambil memaklumkan pihak hospital akan berhubung dengan keluarga Dea Maisarah untuk perbincangan lebih lanjut.

Related Articles

Back to top button