ekonomi

KPDN bakal perkenal susu formula harga rahmah, teruskan usaha bantu rakyat

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan susu formula kanak-kanak pada harga rahmah tidak lama lagi sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata pihaknya kini sedang menunggu harga ditawarkan pengeluar produk itu.

“Kita sudah melaksanakan sesi libat urus bersama pengeluar, setakat ini maklum balas yang diberikan oleh mereka amat positif.

“Ketika ini kita sedang menunggu harga yang ditawarkan oleh pihak pengeluar susu tepung berkenaan,” katanya.

Fuziah berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Rahmah di Kampung Laut dekat Tumpat, Kelantan.

Media sebelum ini melaporkan berlaku kenaikan harga susu formula di pasaran.

Susulan itu KPDN pada bulan lalu telah mengadakan sesi libat urus dengan pengeluar susu formula bagi menangani perkara itu selain membincangkan cadangan mengeluarkan susu formula pada harga rahmah.

Dalam perkembangan berkaitan Fuziah memberitahu, KPDN telah membelanjakan RM30juta daripada RM100 juta yang diperuntukkan kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat barangan keperluan pada harga murah.

Perbelanjaan itu jelasnya melibatkan program jualan Rahmah bermula pertengahan April sehingga 30 Jun yang menawarkan diskaun harga barangan makanan dan keperluan asas.

“Alhamdulillah, sehingga kini seramai 1.1 juta orang telah mengunjungi jualan Rahmah di seluruh negara sejak diperkenalkan kerajaan pada April lalu.

“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan memastikan subsidi secara bersasar dapat dinikmati oleh rakyat,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button