Sanusi langgar garis merah, perlu berani terima akibat – Menteri KDN
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan mana-mana pemimpin ‘mulut celupar’ terutama yang sentiasa menyentuh isu 3R merujuk kaum, agama dan institusi raja perlu bersedia menghadapi akibatnya.
Merujuk sikap pemimpin PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Saifuddin menegaskan Menteri Besar Kedah itu sudah melepasi garis merah dalam isu 3R.
“Dia sudah tersasar jauh. Dia bukan sahaja menghina Sultan Selangor malah lawan politiknya juga. Bagaimana seorang pemimpin Islam yang mempertahankan Al-Quran boleh tersasar begitu jauh?
“Ia semakin berbahaya dan majoriti rakyat semakin resah. Raja-raja Melayu pun menyuarakan rasa terkilan dengan tindakan sebegitu.
“Oleh itu, tindakan tegas perlu diambil atau pemimpin sebegitu tidak akan sesekali menghormati institusi diraja,” tegasnya.
Mengula lanjut Saifuddin berkata, beliau kini menyerahkan isu dikaitkan dengan Sanusi kepada kebijaksanaan Tan Sri Razarudin Husain (Ketua Polis Negara) dan pasukannya untuk bertindak sewajarnya.
“Di peringkat kementerian, kami akan sentiasa memberikan sokongan,” katanya
Saifuddin sebelumnya ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di George Town malam tadi.
Dalam pada itu Saifuddin mempersoalkan mengapa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak tampil membuat teguran atas kebiadapan Sanusi
“Bagaimanapun, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berdiam diri berhubung perkara itu. Adakah ini bermakna beliau bersetuju dengan Sanusi? Jika tidak, mengapa beliau tidak menegurnya?
“Tiada agama yang membenarkan penganutnya mempersendakan dan menghina orang lain,” tambahnya.