Amalan konsep tabayyun bantu kekalkan keharmonian rakyat – PM Anwar
Amalan konsep tabayyun penting untuk menyemak atau memeriksa sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya mampu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan itu relevan bagi memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan penuh berhemah dan berintegriti, kerana dunia tanpa sempadan menjadikan perkongsian dan penyebaran maklumat dapat dilakukan dalam kiraan detik sahaja.
Menurutnya, maklumat benar dan salah bercampur baur dalam dunia maya sehingga menimbulkan bibit-bibit persengketaan yang mampu menggugat ketenteraman dan keharmonian hidup rakyat berbilang kaum.
“Sehubungan dengan itu, pentingnya amalan konsep tabayyun untuk semak atau periksa sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada individu lain. Konsep ini secara tidak langsung melatih kita supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu kesimpulan.
“Amalan ini relevan untuk memastikan penyebaran maklumat khususnya di media sosial dilakukan dengan penuh berhemah dan berintegriti. Sama-samalah kita mengamalkan konsep tabayyun sekali gus dapat membantu mengekalkan kestabilan negara dan keharmonian dalam kalangan rakyat selain mengelak gejala fitnah,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang merasmikan majlis tersebut bagi pihaknya.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, menteri-menteri kabinet serta Exco-Exco Kerajaan Negeri Perak.
Anwar berkata dengan mengamalkan konsep tabayyun, secara tidak langsung ia melatih individu supaya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu kesimpulan.
Sementara itu beliau berkata permasalahan rakyat, yang saban hari terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, kini sedang ditekuni secara menyeluruh.
Justeru Perdana Menteri berkata dalam membantu rakyat mendepani situasi itu, kerajaan telah mengambil langkah proaktif memastikan kehidupan rakyat berada di tahap yang selesa, melalui pelbagai inisiatif.
Beliau berkata segala inisiatif oleh kerajaan hari ini dirancang dengan teliti, untuk memastikan tiada rakyat yang ketinggalan dalam mengecapi kesejahteraan dan terus terpelihara kebajikannya.
“Antaranya inisiatif kos sara hidup dan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah bagi memastikan bebanan rakyat dapat dibantu.
“Kerajaan juga mengambil langkah serampang dua mata untuk menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40, pada masa yang sama berusaha untuk menyelesaikan masalah ekonomi harian melalui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
“Sekurang-kurangnya 100,000 peserta daripada isi rumah miskin tegar, miskin dan B40, akan dibantu menerusi inisiatif ini,” katanya.