Hanya perlu RM1.5 bilion selesai masalah air Kelantan, bukan RM8 bilion – Rafizi
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan Kerajaan Negeri Kelantan tidak memerlukan peruntukan sebanyak RM8 bilion untuk menyelesaikan masalah air di negeri itu.
Sebaliknya jelas Rafizi, Kelantan hanya memerlukan sebuah lagi Loji Rawatan Air (LRA) membabitkan kos RM1.5 bilion bagi menyelesaikan masalah air dihadapi rakyat negeri itu.
“Pengeluaran air terawat oleh LRA sedia ada adalah sekitar 500 juta liter sehari.
“Permintaan harian air terawat di Kelantan adalah 600 juta liter sehari. Dengan satu tambahan baharu LRA yang Insya-Allah akan diluluskan, pengeluaran air akan menjadi sekitar 700 juta liter sehari,” katanya.
Rafizi sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jelajah MADANI Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh di Kelantan pada Sabtu.
Ketika diminta memperincikan permohonan RM8 bilion yang diminta kerajaan negeri itu sebelum ini, Rafizi berkata kerajaan Kelantan bercadang untuk membina lima LRA untuk menyelesaikan masalah air.
“Dalam mesyuarat kami dah tegur, kami tak nampak keperluan RM8 bilion ini kerana LRA sedia ada mampu keluarkan 500 juta liter air terawat sehari, kami sedia pertimbangkan satu lagi LRA dengan peruntukan RM1.5 bilion yang akan membawa kepada pengeluaran air terawat sebanyak 700 juta liter sehari,” jelasnya.
Walau bagaimanapun menurutnya, peruntukan RM1.5 bilion untuk membina sebuah LRA baharu masih diperhalusi.
“Sekiranya diluluskan, RM1.5 bilion adalah tambahan kepada RM500 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan RM1 bilion oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini,” tambah Ahli Parlimen Pandan itu.