Sokongan kepada kerajaan Pas merudum, rakyat Kelantan mahu berubah
Sokongan rakyat terhadap Kerajaan Pas Kelantan merosot ke paras 50 peratus, dakwa Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli.
Bercakap kepada pemberita di program ceramah Jelajah Madani di Kota Baharu semalam, Menteri Ekonomi itu berkata, ini adalah kali pertama tahap kepuasan rakyat terhadap kerajaan negeri itu jatuh.
Menurutnya, situasi itu memberi petanda yang baik buat gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) untuk menang pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.
“Apa yang penting sekarang ialah memomentum kempen kerajaan Perpaduan di negeri ini.
“Kalau ada yang kata, Kelantan ini langsung tak nak berubah itu tidak betul. Sebenarnya sudah ada tanda-tanda yang pengundi terbuka untuk melakukan perubahan,” katanya.
Rafizi menjelaskan, kemerosotan sokongan itu adalah berpandukan data yang dimiliki beliau bermula 2016 lalu hingga ini.
Sementara itu jelas Rafizi, PH-BN akan terus mendekati kumpulan pengundi atas pagar pada PRN yang akan menjadi penentu kepada perubahan nanti.
Katanya, bentuk kempen dan isu-isu yang dibawa akan menjadi penentu dalam usaha memenangi hati pengundi atas pagar.
“Kita perlu yakinkan mereka (pengundi atas pagar) menggunakan fakta. Faktanya, Kelantan paling miskin, kemajuan ekonomi paling ke belakang dan peruntukan yang diberikan kepada negeri ini bukan sedikit oleh Kerajaan Pusat.
“Jadi disebut Kelantan dianak tirikan itu tidak betul. Kelantan dapat peruntukan besar setiap tahun begitu juga soal air,” tambah Ahli Parlimen Pandan itu.
Beliau turut berkata, isu air bukan sahaja melibatkan peruntukan, sebaliknya membabitkan banyak perkara-perkara lain dan Kerajaan Persekutuan sedia membantu dengan syarat ia mesti dikawal selia sebaik mungkin.