Ubah persepsi graduan TVET kategori pendidikan rendah – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu persepsi kononnya jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih rendah kategorinya berbanding lulusan diploma dan universiti diubah.
Menurut beliau, persepsi sebegitu masih wujud sehinggakan pelajar menjadi tidak bersemangat ketika meneruskan pengajian dalam jurusan tersebut meskipun jumlah pelajar yang mengikuti jurusan berkenaan ramai ketika ini.
Jelasnya, persepsi sebegitu perlu diperbetulkan selari dengan penekanan negara ketika ini yang melanglah ke arah teknologi digital dan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang memerlukan kepakaran daripada jurusan TVET.
“Kalau kita mulakan usaha mempertingkatkan dan memperkasakan jurusan TVET ini termasuk meningkatkan gaji yang sepatutnya diterima mereka, maka saya ingat minat generasi muda itu kepada jurusan TVET dengan sendirinya akan meningkat.
“Cuma perlu ada beberapa perubahan dalam kementerian terlibat yang harus menerima kenyataan yang mana cara dan kaedah lama harus diubah suai supaya latihan TVET itu dapat memenuhi keperluan industri.
“Dalam masa sama, pihak industri juga seperti syarikat Proton, Geely, Petronas dan sebagainya dapat menyediakan latihan serta sijil seterusnya memastikan pekerjaan kepada lulusan TVET ini terjamin,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada program Sentuhan Kasih Desa Pulau Pinang – Sesi Bual Bicara Komuniti TVET Bersama Perdana Menteri di Bertam, hari ini yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Anwar menjawab soalan daripada seorang peserta program itu mengenai bagaimana untuk meyakinkan generasi muda yang mana TVET merupakan laluan pendidikan tepat selepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) serta bagaimana TVET mampu menarik minat pelajar sebagai pilihan untuk menyambung pengajian.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pensyarah di institusi terbabit memainkan peranan penting sekiranya mutu dan latihan akhir jurusan TVET mahu terus ditingkatkan pada masa depan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan memutuskan untuk menyediakan dan menambah dana khas kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk menyediakan platform dalam melatih pensyarah-pensyarah TVET termasuk menjalin kerjasama dengan syarikat berprestasi tinggi seperti Petronas, Geely dan Proton.
“Sasaran kita adalah supaya lulusan TVET ini mampu menerima gaji mencecah antara RM2,500 dan RM3,000 sebulan berbanding antara RM1,800 hingga RM2,000 seperti yang diterima kebanyakan lulusan itu ketika ini,” katanya.