Nasional

Usaha kerajaan noktah kemiskinan tegar libat semua kaum, jelas Perdana Menteri

Usaha kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar seperti ditetapkan tahun ini tidak tertumpu kepada satu kaum sahaja sebaliknya meliputi semua, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mengakui sedar ada pihak yang cuba memberi gambaran seolah-olah beliau melindungi kepentingan satu kaum sahaja, Anwar menegaskan pentadbiranya jelas iaitu memastikan semua yang ada di negara ini mendapat hak masing-masing berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan tanya saya berapa peruntukan untuk kaum Melayu, kaum India, saya tidak peduliā€¦ada sahaja jumlah, ada nama kita sahkan, kita tolong.

“Siapa yang miskin tegar, kita tolong. Kita tolong rakyat susah tak kira kaum,” katanya Anwar pada ucapan di majlis ramah mesra bersama masyarakat India Kedah di Sungai Petani malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Saraswathy Kandasami serta Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Sementara itu Anwar dalam ucapannya menyatakan harapan agar masyarakat India, khususnya yang tinggal di estet, keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat India selama ini memberi sokongan kuat kepadanya.

Justeru jelasnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, sokongan itu perlu terus diberikan kepada Kerajaan Perpaduan bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang dapat direalisasi.

“Saya nak pesan kepada masyarakat India di Kedah, buat keputusan yang baik, biar ada hubungan baik antara negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita guna kuasa yang ada ini untuk bantu rakyat kita,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Related Articles

Back to top button