Agihan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mula dilaksana hari ini
Kira-kira 210,000 individu dalam kategori miskin tegar bakal menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bermula hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SARA merupakan inisiatif di bawah Payung Rahmah untuk membantu golongan kurang berkemampuan terutamanya kumpulan miskin tegar mendepani cabaran kos sara hidup dengan peruntukan hampir RM130 juta.
“Dengan sumbangan yang diberikan ini dapatlah menampung sebahagian daripada perbelanjaan seharian mereka,” kata Menteri Kewangan itu dalam kenyataan.
Anwar mengumumkan pemberian bantuan sebanyak RM600 pada Jumaat lalu kepada penerima berdasarkan data e-Kasih bagi mendapatkan keperluan barangan makanan asas.
Pemberian bantuan menerusi aspek Perlindungan Sosial Untuk Rakyat Memerlukan itu diumumkan Anwar pada Jumaat lalu.
Ia dilaksanakan sebagai langkah awal merealisasikan Naratif Ekonomi Madani sebelum pembentangan Belanjawan Madani 2024.
Setiap pemerima berdasarkan data e-Kasih mendapatkan RM100 setiap bulan bagi tempoh enam bulan (Julai hingga Disember 2023) secara automatik melalui akaun yang dibuka menggunakan MyKad penerima.
Difahamkan agihan dibuat bermula hari ini khusus bagi penerima yang berada di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN).
Penerima di Perlis, Perak, Pahang, Melaka dan Johor pula akan turut menerima kaedah bayaran sama, namun ia mula diagihkan pada 31 Julai ini.
Bagaimanapun bagi penerima daripada negeri Sabah, Sarawak dan akan mendapat bantuan itu mulai 7 Ogos depan dengan bayaran RM600 secara sekali gus melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk melalui https://www.mykasih.com.my.