Semasa

Basmi kemiskinan: Kerajaan tingkat kemasukan pelajar kaum India ke program TVET

Dalam usaha mengurangkan kemiskinan dalam kalangan kaum India, Perdana Menteri memberi jaminan akan memastikan kemasukan pelajar kaum itu ke program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditingkatkan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sudah dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara yang sedang mengusahakan perkara itu.

“Saya diberitahu Ahmad Zahid, ada rayuan agar pelajar India diberikan peluang kepada akses ke TVET. Saya belum dapat jumlah pelajar etnik India ke TVET tetapi usaha sedang dilakukan,” katanya pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat India Negeri Pulau Pinang di Arena Seberang Perai pada Ahad.

Sementara itu tambah Anwar, kerajaan pimpinannya tetap dengan pendirian untuk menghormati setiap hak warganegara di Malaysia walaupun terdapat asakan kasar daripada pembangkang yang mendakwa kononnya Anwar berusaha mempertahan hanya hak kaum lain, bukan orang Melayu.

“Ini adalah prinsip yang sangat asas. Di luar sana, terdapat propaganda untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang Melayu bahawa mereka sedang terancam kerana Anwar sebagai Perdana Menteri kini berkompromi dengan bukan Melayu dan menyerahkan hak serta kuasa orang Melayu.

“Kita perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan bahawa amalan rasisme, propaganda perkauman dan ketaksuban agama tiada tempat di negara ini,” katanya sambil menyeru semua kaum agar terus berganding bahu membantu kerajaan MADANI untuk mengatur kembali ekonomi, meningkatkan mutu pendidikan, membawa pelaburan dan menyelamatkan rakyat negara ini.

Related Articles

Back to top button