Politik

Jangan lupa, rakyat tertindas semasa pentadbiran PN – Razeef

Seorang pemimpin Parti KEADILAN Rakyat membidas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan yang bakal dipimpin Perikatan Nasional (PN) akan berlaku adil dan saksama untuk kepentingan rakyat.

Razeef Rakimin dalam kenyataan pada Ahad berkata, rakyat sebenarnya telah tertindas sepanjang 33 bulan pentadbiran PN.

Beliau berkata begitu sebagai merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang didakwa tidak adil dan membebankan rakyat.

“Isu SOP ketika Covid-19 melanda negara sahaja cukup membuktikan PN tidak adil terutama kepada rakyat sedangkan keistimewaan diberikan kepada pemimpin-pemimpin PN,” ujar Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN itu.

Pada Sabtu, Muhyiddin menggesa orang ramai tidak perlu risau berhubung dakwaan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan naratif seolah-seolah pentadbiran kerajaan PN akan menyerupai pemerintahan kumpulan Taliban.

Walau bagaimanapun Razeef menolak gesaan Muhyiddin itu dengan berkata rakyat seharusnya khuatir dengan pelbagai gelombang yang dibawa gabungan Pas dan Bersatu dalam PN kerana ia akan menyebabkan kehancuran sebuah negara Madani.

Beliaumengaitkan beberapa insiden membabitkan pemimpin PN baru-baru ini termasuk tindakan mempersenda institusi diraja.

“Gelombang ‘Selangor Baharu’ yang cuba dibawa baru-baru ini dengan mempersenda dan menghina Sultan Selangor secara terang-terangan di pentas ceramah politik.

“Begitu juga dengan gelombang hijau yang boleh dilihat sebagai kejayaan PN dalam gerakan propaganda serta fitnah kepada Pakatan Harapan (PH) sehingga mempengaruhi segelintir rakyat.

“Amat pelik bila Muhyiddin cuba menafikan gelombang yang ditunggang beliau sebelum ini. Perkara lebih teruk akan berlaku jika PN mendapat mandat melalui pilihanraya,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button