Peruntukan tambahan untuk PDRM: Razarudin zahir penghargaan kepada kerajaan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan penghargaan tinggi kepada kerajaan susulan pengumuman penambahan peruntukan kepada PDRM
Dipetik laporan Utusan Malaysia, Razarudin melihat peruntukan RM150 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu dapat memperkasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain memastikan kebajikan anggota pasukan keselamatan tersebut terjamin.
“Kami menyambut baik penambahan peruntukan ini terutama bagi menaik taraf pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di beberapa negeri yang patut diberi perhatian.
“Peruntukan ini juga dapat membantu PDRM menyelenggara dan membaik pulih kerosakan kuarters polis yang uzur untuk memastikan setiap pegawai dan anggota dapat duduk lebih selesa,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika mengumumkan peruntukan itu berkata, ia adalah tambahan kepada peruntukan pembangunan berjumlah RM200 juta yang disalurkan melalui Belanjawan 2023 untuk penyelenggaraan fasiliti kuarters beberapa agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, peruntukan tambahan yang asalnya dirancang disalurkan tahun hadapan,disegerakan selepas melihat dan menilai laporan mengenai keadaan fasiliti serta infrastruktur terbabit.
“Saya luluskan RM45 juta bagi PGA itu segera dan apabila saya kata segera, maknanya hari Isnin ini wang mesti disalurkan dan saya akan bincang dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mempercepat projek terbabit.
“Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) itu pula tempat orang bertarung nyawa tetapi pejabat sementaranya hanya rumah kedai dan berselerak. Jadi saya luluskan RM40 juta untuk infrastruktur dan fasiliti berkaitan ESSCOM,” katanya ketika pengumuman itu.