PM umum dana tambahan latih tenaga pengajar TVET
Dana tambahan bagi tujuan latihan kepada tenaga pengajar dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bakal disediakan kerajaan kepada Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana itu bagi membolehkan pensyarah TVET universiti mendapat latihan yang selaras dengan keperluan industri.
Malah tambahnya, syarikat automotif Geely dan Petronas turut telah diminta untuk bekerjasama dengan UniKL bagi menjayakan proses latihan.
“Pada mulanya, rancangan ini adalah untuk tahun depan, tetapi saya nak perkara ini dipercepatkan dalam masa yang singkat ini.
“Saya akan minta syarikat Geely dan Petronas untuk kerjasama dengan UniKL dan mengadakan program khas kepada pensyarah TVET,” kata dalam sesi bual bicara komuniti TVET sempena Ekspo TVET@KKDW 2023 di Pulau Pinang pada Ahad.
Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.8 bilion untuk institusi TVET di seluruh negara dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan lepasan TVET selaras dengan Revolusi Industri 4.0.
Jemaah menteri juga telah memutuskan untuk tidak menghalang mana-mana syarikat yang berhasrat mengambil alih institusi TVET dengan syarat mereka memberikan latihan lebih baik bagi memastikan lepasa TVET mendapat gaji lebih tinggi.
“Kalau keupayaan tenaga kerja dapat ditingkat, syarikat antarabangsa seperti Tesla dan Geely berjanji akan memberikan gaji RM2,500 hingga RM3,000 kepada lepasan TVET kita. Ini janji mereka ketika mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan,” tambah Anwar.
Jelasnya, setakat ini terdapat lebih 400 institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan manakala 250 institusi lain di bawah Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Petronas jelasnya telah diminta mengambil alih institusi TVET di Pengerang, Johor dan Batu Rakit di Terengganu manakala Perodua di Pekan, Pahang.
“Saya difahamkan Petronas telah memberikan latihan TVET dan sudah tentu yang bekerja dengan Petronas akan menerima gaji lebih RM3,000,” tambah beliau.