Politik

Sanusi, siapa lelaki China yang bekerja dengan MBI itu? – Menteri KDN

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didesak mendedahkan identiti seorang lelaki China yang ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu program di Pulau Pinang semalam berkata, lelaki itu dikesan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan ikhtisas Pengerusi Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Beliau turut mendedahkan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI, Muhammad Sobri Osman menubuhkan sebuah syarikat berdaftar di negara ini bersama sekumpulan warga China sebelum ada yang menjadi pengarah syarikat tersebut.

“Bolehkah Muhammad Sanusi namakan seorang lelaki warga China yang masuk menggunakan pas Ikhtisas dan kerja dengan MBI di hutan simpan negeri Kedah kemudian dia diberkas (JPNK).

“Bolehkah Muhammad Sanusi senaraikan berapa ramai orang dia restui untuk duduk bersama syarikat yang dianggotai CEO MBI.

“Suruh dia (Muhammad Sanusi) jawab semua ini dulu esok, kalau tak jawab nanti saya dedahkan lagi,” katanya.

Saifuddin membuat gesaan itu dalam ucapan di Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya pada Ahad.

Terdahulu, Saifuddin mendedahkan MBI menerima kompaun berjumlah RM500,000 kerana terlibat dalam kejadian mencuri REE di Kampung Chong, Sik.

Menurut beliau, kompaun itu dikeluarkan pada 4 Oktober tahun lalu oleh Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Mohd Fauzi Mustaffa dan dialamatkan kepada Pengerusi MBI, iaitu Muhammad Sanusi.

Sanusi kemudian menafikan perkara itu dan mengancam mengambil tindakan perundangan terhadap Saifuddin. Saifuddin sebagai respon kepada ancaman itu berkata, beliau mengalu-alukan tindakan saman dari Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu.

Sementara itu Saifuddin menjelaskan, perkara itu didedahkan supaya Muhammad Sanusi tidak cuci tangan berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) yang berlaku di negeri Kedah.

“Dia (Muhammad Sanusi) kata kerajaan negeri, MBI tidak terlibat isu itu (curi REE) tapi orang lain yang curi.

“Malah, pendedahan saya semalam dia heret penjawat awam sekali dalam isu itu. Saya tak mahu jawab kerana dia (pengarah tanah dan galian) bukan orang politik cuma tiada siapa boleh nafikan termasuk pengarah itu ada surat kompaun dihantar kepada MBI.

“Surat kompaun itu wujud bukan dongeng. Sapa curi sapa bayar itu soal nombor dua, faktanya ada surat kompaun dihantar kepada MBI dan itu tak berubah.

“Bila kita serang baru dia sibuk jawab, biar dia jawab satu persatu. Saya akan terus dedahkan sepanjang siri kempen dan ini adalah tema kita patut ambil alih Kedah kerana pentadbiran sekarang lemah dari segi tata kelola atau practice of good governance (amalan tadbir urus yang baik),” katanya.

Related Articles

Back to top button