Pertumbuhan ekonomi suku kedua diunjur kekal positif
Pertumbuhan ekonomi negara diunjur akan terus kekal positif bagi suku kedua tahun ini.
Ketua Program MBA, Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata permintaan domestik yang berdaya tahan akan terus memangkin pertumbuhan, di sebalik pelbagai ketidaktentuan luaran.
Meski pertumbuhan suku kedua diramal lebih perlahan berbanding sebelumnya, beliau yakin negara masih di landasan tepat untuk mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.
“Kenapa kita boleh memenuhi atau mencapai sasaran tersebut kerana kita tidak terbeban dengan faktor-faktor luaran yang menjejaskan aktiviti ekonomi kita.
“Sebagai contoh di peringkat komoditi, minyak sawit dan gas kita masih lagi mampu jual dengan harga yang kompetitif dan kita adalah rakan dagang RCEP CPTPP yang membolehkan kita terus memasarkan barangan di luar,” katanya dipetik laporan portal RTM.
Tambah beliau, pemeteraian perjanjian persefahaman dengan pelbagai negara juga akan meningkatkan kemasukan pelaburan langsung asing. Seterusnya bakal merancakkan kegiatan ekonomi.
Pada suku pertama 2023, ekonomi negara mempamerkan pertumbuhan di luar jangka pada 5.6 peratus, berbanding 5 peratus tempoh sama tahun 2022.