Semasa

Akta Hasutan masih perlu dalam hal berkaitan institusi raja – PM Anwar

Akta Hasutan 1948 masih diperlukan bagi kes-kes yang menyentuh institusi diraja, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengulas pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi Md Nor di bawah akta itu hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau pada dasarnya mengelak Akta Hasutan digunakan, tetapi ucapan Sanusi minggu lalu menyentuh kedudukan dan martabat raja-raja yang boleh mencetus perbahasan politik yang tidak sihat.

“Saya dari segi dasar elakkan penggunaan Akta Hasutan, jadi yang ini bila menyentuh kedudukan raja-raja harus kita pelihara, sanjung dan elak jadi suatu wacana perbahasan politik yang tidak sihat.

“Soal kritik Perdana Menteri, saya tak pernah gunakan itu sebagai suatu alasan (bagi mengenakan tindakan di bawah Akta Hasutan),” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, di Sekinchan, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar juga meminta semua pihak supaya menghormati proses mahkamah.

“Polis buat siasatan, peguam negara pun buat pendakwaan, jadi saya tidak mahu ganggu proses dan saya minta akan teliti pendakwaan.

“Yang pertama berkenaan dengan laporan dan kemudian apa alasan peguam negara yang melihat kepada pendakwaan selepas siasatan polis.

“Jadi, kena hormat proses mahkamah,” katanya.

Sanusi ditahan polis dekat sebuah hotel di ibu negara pada jam 3 pagi tadi sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(A) Akta Hasutan 1948.

Susulan penahanan itu, Sanusi kemudiannya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Selayang di Kuala Lumpur hari ini, atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, pada 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen berasingan.

Kedua-dua hakim membenarkan Menteri Besar itu diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh tidak membuat sebarang komen berhubung kes sehingga kes berkenaan selesai.

Related Articles

Back to top button