Nasional

Ekonomi Gig: Kerajaan bakal tubuh SEGiM secepat mungkin

Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) secepat mungkin, bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya menyasarkan untuk menubuhkan suruhanjaya itu dalam tempoh empat bulan akan datang.

Katanya melalui langkah itu, syarikat ekonomi gig tidak boleh lagi melepaskan tanggungjawab menjaga pekerjanya seperti pemandu e-hailing.

“Ada kalangan mereka ini ada diploma dan ijazah, jadi jangan pandang rendah kepada pekerja gig. Mereka bukan memilih pekerjaan ini tetapi terpaksa untuk menyara diri dan keluarga.

“Saya ingatkan para majikan, jangan tekan pekerja gig, jangan zalimi pekerja gig, jangan tidak peduli, nasib mereka mesti dibela oleh majikan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata begitu ketika merasmikan penutupan Forum Nasional: Kerangka Kerjaya Industri Gig di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Pada masa sama, beliau meminta syarikat yang mengaut keuntungan dalam industri gig supaya tidak terlalu tamak sehingga mengabaikan nasib pekerjanya.

“Kita mahu industri berteknologi tinggi, perniagaan dalam talian, sektor baharu terus dibela, pelabur-pelabur industri gig diberi perlindungan. Tetapi untung sikit cukuplah, tanpa pekerja, syarikat mereka takkan maju.

“Jangan aniaya mereka dan tak anggap sebagai pekerja kononnya bukan majikan, jadi saya arahkan menteri supaya pelaksanaan semua bidang tercakup dalam suruhanjaya ini mesti dilaksanakan pertengahan Oktober kerana mereka sudah lama sengsara,” tambahnya.

Utusan Malaysia pada 7 Julai lalu melaporkan, dianggarkan 97 peratus atau kira-kira 1.08 juta daripada 1.2 juta pekerja ekonomi gig tidak mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun kerajaan memperkenalkan Insentif Persaraan menerusi skim i-Saraan.

Ini bermakna hampir semua pekerja ekonomi gig dengan 80 peratus membabitkan anak muda berisiko tiada simpanan minimum RM240,000 bagi menampung perbelanjaan selepas mereka mencapai usia 55 tahun.

Related Articles

Back to top button