ekonomi

Geely labur AS$10 bilion, Malaysia bakal jadi kota automobil terbesar Asia Tenggara

Syarikat automotif China, Geely bakal membuat pelaburan sebanyak US$10 bilion (RM45.3 bilion) untuk menjadikan Tanjung Malim, Perak sebagai kota automobil kereta terbesar di rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hasrat itu disampaikan syarikat berkenaan menerusi surat yang disampaikan kepada beliau malam tadi, sekali gus bakal membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.

“Ini pertama kali saya nyatakan Geely yang bersama-sama mengeluarkan kereta dengan Proton telah menulis surat sebanyak 10 halaman kepada saya.

Syarikat itu memaklumkan mahu meneruskan untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai kota automobil kereta yang terbesar di rantau ini dan akan memulakan (pelaburan) sebanyak US$10 bilion atau RM40 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Selangor, hari ini.

“Untuk apa semua ini…untuk saya ambil komisen atau hadiah? Atau untuk menjamin ekonomi kita naik dan ribuan anak kita akan mendapat kerja,” katanya.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Selain Geely, tambah Anwar lagi, syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco turut berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara.

“Satu lagi Saudi Aramco syarikat Arab Saudi terbesar minyak dan gas di dunia.

“Amin Nassir, pengerusi eksekutifnya jumpa saya dia maklumkan Aramco sekarang senang dengan dasar kerajaan dan buat keputusan menjadikan Malaysia sebagai hab pusat perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di Asia Tenggara,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button