Semasa

KPWKM rancang wujudkan Anjung Kasih di setiap hospital k’jaan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang untuk menyediakan penginapan sementara di semua hospital kerajaan bagi memudahkan waris pesakit yang kurang berkemampuan.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata kemudahan yang dinamakan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) adalah komitmen berterusan kerajaan meringankan beban rakyat dan sehingga kini terdapat sebanyak 18 buah kemudahan penginapan itu dan telah dimanfaatkan oleh seramai 89,864 waris pesakit sehingga Mei lalu.

Tambahnya, melalui kemudahan itu ia dapat membantu menjimatkan kos penginapan waris atau keluarga pesakit dengan purata penjimatan antara RM100 hingga RM150 sehari.

“Memang ada perancangan (KPWKM) mahu semua hospital di seluruh negara ada Anjung Kasih YKN namun semua itu bergantung kepada kemampuan kita dan sumbangan daripada penderma terutama daripada syarikat korporat, cuma setiap hospital ada keperluan berbeza terutama kemampuan setempat.

“Ada juga Anjung Kasih yang telah dibina itu kecil dan sempit. Maka, ia perlu diperbesarkan. Itu juga termasuk dalam perancangan kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat Pulau Pinang, yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah selaku penaja pembinaan Anjung Kasih berkenaan.

Anjung Kasih YKN di HSJ mula beroperasi sejak Julai tahun lalu melalui tajaan sebanyak RM1 juta daripada Kumpulan Sunway.

Dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 72 buah katil yang dibahagikan kepada enam bilik keluarga, Anjung Kasih YKN HSJ turut menempatkan beberapa kemudahan lain seperti bilik untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan kemudahan-kemudahan lain.

Related Articles

Back to top button