Pilihanraya

MAIDAM larang ahli politik berkempen, tampal poster pada pagar surau dan masjid

Larangan berpolitik di masjid dan surau di Terengganu sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini tidak terhad kepada ceramah dan kuliah malah pemasangan poster dan sebaran aktiviti kempen parti politik.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, parti-parti politik juga disarankan tidak membuka markas kempen mereka berhampiran dengan rumah ibadat Islam di negeri ini.

Beliau berkata, kesemua 510 masjid dan lebih 2,000 surau di seluruh Terengganu perlu benar-benar bebas daripada aktiviti politik sepanjang kempen PRN ini.

“Pagar masjid dan surau di negeri ini tidak boleh digantung poster calon dan parti politik serta sebarang jadual dam aktiviti kempen.

“Ia selaras dengan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya selepas majlis penyerahan zakat perniagaan dan sumbangan lembu kepada asnaf Terengganu, hari ini.

Shaikh Harun berkata, pihaknya menetapkan beberapa larangan aktiviti sepanjang kempen PRN bagi menjaga keharmonian dan kemuliaan surau serta masjid di seluruh negeri ini.

Katanya ini termasuk tidak membenarkan kepemimpinan parti politik dan aktivis politik bertindak sebagai khatib dan iman solat Jumaat serta menyampaikan apa-apa ceramah agama sepanjang tempoh berkempen.

“Mana-mana agensi kerajaan yang berhasrat menganjurkan sebarang program sama ada kuliah atau ceramah agama di surau dan masjid, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada MAIDAM.

“Kuliah pengajian agama yang sedia ada boleh diteruskan seperti biasa di semua surau dan masjid di seluruh negeri ini.

“Bagaimanapun pengajar diingatkan supaya tidak menyentuh atau menyelit apa-apa perkara yang berbaur kempen kepada mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengikut Seksyen 103 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu boleh diambil sekiranya peraturan tersebut tidak dipatuhi.

“Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 103 adalah melakukan suatu kesalahan.

“Apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Related Articles

Back to top button