ekonomiNegeri

Pembangunan SAILH buka 5,000 peluang baharu pekerjaan – Amiruddin Shari

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan lebih 5,000 peluang baharu pekerjaan dapat diwujudkan susulan projek pembangunan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) di Seksyen 16, Shah Alam.

Beliau berkata, hab logistik milik penuh Global Vision Logistics Sdn Bhd (GVL) itu akan dibina di atas tapak seluas 28.73ha, dengan fasa pertama dijangka siap pada 2025.

“Saya lihat pembangunan hab ini sebagai satu cara bagi menambah lagi peluang pekerjaan untuk masyarakat Selangor khususnya.

“Untuk fasa pertama, 3,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran SAILH semalam.

IJM Construction Sdn Bhd sebelum ini dilapor telah memenangi kontrak daripada GVL bernilai RM653.6 juta untuk membangunkan fasa pertama SAILH, hab logistik bertauliah hijau pertama di negara ini dan antara yang terbesar di rantau Asean.

Fasa pertama itu merangkumi kompleks gudang setinggi empat tingkat, kemudahan tempat letak kenderaan empat tingkat dan pejabat satu tingkat di samping bangunan tambahan termasuk kerja-kerja pengujian dan pentauliahan.

Amirudin dalam pada itu berkata, sektor perkhidmatan di negeri itu dilihat semakin menarik dan dijangka terus berkembang dalam tempoh empat atau lima tahun lagi.

“Sektor perkhidmatan menyumbang kepada 60% kepada pembangunan ekonomi Selangor dan pertumbuhannya meningkat 13%, berpadanan dengan trend global.

“Selangor juga sedang menuju dan hampir menyaingi Singapura dari segi pecahan atau pun beralih dari (sektor) pembuatan kepada perkhidmatan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button