ekonomi

RM5 juta diperuntukkan baiki, naik taraf semua jeti pendaratan ikan

Dalam usaha menjamin keselesaan dan keselamatan nelayan, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan untuk kerja membaiki, menaik taraf serta membina jeti pendaratan ikan di negara ini

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil berkata, beliau berharap melalui langkah itu ia akan dapat memastikan nelayan dapat meneruskan aktiviti tangkapan ikan sekali gus melaksanakan agenda keterjaminan bekalan makanan negara.

“Negara tidak boleh berhadapan dengan krisis bekalan ikan dan memerlukan bekalan ikan yang cukup untuk melaksanakan agenda keterjaminan makanan.

“Itu jadi usaha-usaha ini kita nak memastikan nelayan di sini meneruskan aktiviti tangkapan ikan dengan baik,” katanya.

Sementara itu jelasnya nelayan juga akan dapat meningkatkan pendapatan mereka dengan menjual terus hasil tangkapan kepada pengguna tanpa melalui banyak tapisan rantaian bekalan sekiranya jeti pendaratan ikan di negara ini diperkemaskan.

Terdahulu beliau ditemuai pemberita pada Program Ramah Mesra Madani Libat Urus Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kedah di Jeti Pendaratan Ikan Seberang Kota di Alor Setar pada Isnin.

Pada program itu, seramai 59 nelayan di Kedah menerima bantuan pukat manakala seorang nelayan lagi mendapat bantuan sebuah enjin bot dengan nilai keseluruhannya hampir RM50,000.

Dalam pada itu jelasnya kerajaan telah meluluskan RM75,900 untuk membaik pulih jeti pendaratan ikan di Kuala Kedah manakala RM20,000 lagi membina sebuah tandas awam di jeti itu bagi keselesaan awam.

Related Articles

Back to top button