AnwarSemasa

Teliti ucapan saya berhubung menteri bebas rasuah – PM Anwar jawab Syed Saddiq

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar meneliti ucapannya berhubung barisan menteri Kabinet yang bersih dan bebas daripada rasuah.

Jelasnya, kenyataan itu berdasarkan prestasi menteri Kabinet yang dipantau rapi oleh agensi penguat kuasa.

“Syed Saddiq perlu teliti ucapan saya, lapan bulan saya jadi Perdana Menteri dan saya ikuti laporan masa ke semasa dari PDRM (Polis Diraja Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) terutamanya.

“Saya puas hati, alhamdulilah tidak ada kes menjejaskan integriti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Sentuhan Agro Madani peringkat negeri Selangor di Sekinchan, hari ini.

Tambah Anwar lagi, Ahli Parlimen Muar itu sebaliknya perlu memberi perhatian kepada kes-kes rasuah melibatkan jumlah berbilion ringgit.

“Saya nasihatkan kita tumpu orang sakau wang berbilion ringgit ini, yang nampak tersembunyi… dok melalak ke sana ke sini mereka ni (kononnya) pertahankan Melayu dan Islam… itu patut kita jaga.

“Tanggungjawab saya dalam Kerajaan Madani menjaga… jangan ada amalan sakau.

“Jadi laporan (kenyataan) saya itu berdasarkan prestasi lapan bulan yang dipantau rapi agensi penguatkuasaan tanpa mengira kedudukan dan parti termasuk parti kerajaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Syed Saddiq mempersoal kenyataan Perdana Menteri itu bahawa tidak ada seorangpun menteri dalam Kabinet yang dipimpin Anwar terpalit dengan rasuah.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tanggungjawab beliau dalam Kerajaan Madani adalah menjaga supaya tiada amalan rasuah.

“Jadi, laporan saya berdasarkan prestasi lapan bulan yang dipantau rapi oleh agensi-agensi penguatkuasaan tanpa mengira kedudukan dan parti termasuk parti kerajaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button