Ahli politik diingatkan berhemah, tidak ekstrem ketika berkempen
Ahli politik khususnya beragama Islam diingatkan tidak bersikap ekstrem dan taksub sepanjang berkempen untuk PRN enam negeri.
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor menasihatkan ahli politik menggunakan pendekatan berhemah dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat ketika berkempen sekadar untuk menarik sokongan kepada parti masing-masing.
“Berkempenlah secara bersopan dengan memelihara adab dan akhlak yang baik, jangan mencerca, maki hamun, dan memfitnah mana-mana individu hanya kerana perbezaan pegangan politik.
“Khusus bagi ahli politik beragama Islam, saya suka memperingatkan supaya tidak bersikap ekstrem dan terlalu taksub,” katanya dalam kenyataan.
Melalui kenyataan sama, Wan Salim turut menegah tindakan mendoakan kebinasaan ke atas sesama saudara seagama atau antara sesama saudara senegara walaupun berbeza agama.
“Tidak wajar bagi seorang Muslim mendoakan keburukan ke atas saudaranya semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.
“Perbezaan ini adalah tabi’i iaitu sama dengan perbezaan bentuk badan, warna kulit, dan rupa paras yang mesti diterima seadanya sebagai ketetapan daripada Sang Pencipta,” katanya.
Jelasnya, perbezaan fahaman politik perkara biasa dan tidak sepatutnya menjadi senjata untuk memecahbelahkan umat Islam.
Justeru, katanya semua pihak harus berpolitik secara matang sebagai masyarakat bertamadun yang mendokong sistem demokrasi.