‘Lawak bila Sanusi cakap soal kebebasan bersuara’ – Fahmi Reza
Seorang pereka grafik menyindir Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya yang mendakwa negara ini tidak lagi mengamalkan kebebasan bersuara.
Fahmi Reza mengulas dakwaan itu menyoal kembali Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu apakah ketika pentadbiran PN sebelum ini kebebasan bersuara telah dibenarkan.
“Lepas kena dakwa kat mahkamah kamu kata ‘Tiada kebebasan bersuara di Malaysia’. Cuma nak tanya, masa kerajaan Perikatan Nasional memerintah dahulu ada kebebasan bersuara ke?” katanya dalam hantaran di Facebook.
Fahmi melalui hantaran itu turut mengingatkan Sanusi bahawa dalam tempoh enam bulan dari Mac hingga September 2021, dia ditahan polis di bawah Akta Hasutan dan dihendaki hadir ke balai sebanyak tujuh kali untuk disoal siasat.
Pada Selasa, Sanusi dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang bagi dihadapkan dengan dua pertuduhan mengeluarkan kenyataan ‘menghasut’ dan meremehkan institusi diraja Selangor berhubung keputusan melantik Datuk Seri Amiruddin Shari sebagai Menteri Besar negeri itu.
Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Sanusi mendakwa pendakwaan terhadapnya membuktikan kerajaan ‘takut’ terhadap ucapannya.
“Tak malu ke, lepas dah kena tangkap dan kena dakwa bawah Akta Hasutan, baru sekarang kamu nak melalak pasal tiada kebebasan bersuara di Malaysia? Lawaklah,” tambah Fahmi sebagai mengulas kenyataan Muhammad Sanusi.
Sebagai rekod, pada Ogos 2021, tiga individu berusia antara 61 hingga 45 tahun ditahan susulan kenyataan dilempar mereka terhadap Muhammad Sanusi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir dipetik laporan ketika itu berkata, pihaknya menahan dua lelaki itu selepas menerima laporan polis daripada seorang Pegawai Khas Menteri Besar.