Semasa

Maal Hijrah 1445: Pertahankan Malaysia daripada anasir perkauman – PM

Malaysia perlu dipertahankan daripada anasir perkauman yang memecah-belah, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah yang dikongsi di laman Facebook dan Twitternya, Perdana Menteri berkata keamanan dan kestabilan kini menjadi maqasid utama agar kebajikan rakyat terbela.

Sebarang usaha untuk merubah negara yang berperlembagaan dan berdaulat ini kepada negara perkauman yang huru-hara tegasnya tidak akan dibiarkan walau seinci pun.

“Justeru, menjelang sambutan Hijrah 1445 ini, marilah kita bertekad untuk melakukan hijrah yang hakiki.

Berhijrah daripada kemungkaran kepada kebaikan, daripada kebejatan rasuah kepada amanah, daripada ketaksuban kepada minda yang merdeka, dan daripada perkauman sempit kepada taayush silmi (hidup bermuafakat),” katanya.

Melalui kenyataan sama, Presiden KEADILAN itu turut mengimbau sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dalam mendirikan kota Madinah.

Rasulullah jelasnya meletakkan asas tatacara dan tatakelola sistem pemerintahan Islam dengan pengajaran dan kefahaman mengenai soal akhlak, nilai dan prinsip.

Tambah beliau, daripada didikan kerohanian itu, maka terbitnya dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua
.
“Walhasil, penghijrahan Rasul membenam faham perkauman. Pakatan para Muhajirin bersama Ansar, dan sebelumnya bersama Raja Ashamah, pemerintah negeri Habsyah mencerminkan semangat kerjasama dalam perkara makruf.

Kota Madinah dilatari kepelbagaian agama, budaya dan bangsa kemudiannya didirikan atas nama umat yang satu. Demikianlah hijrah Rasul dan para sahabat menjadi ibrah segar sepanjang zaman,” katanya.

Majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini dengan tema “Perpaduan Teras Malaysia MADANI”.

Related Articles

Back to top button