Payung Rahmah: KPDN sedia jalin kerjasama dengan lebih banyak pihak
Susulan inisiatif Payung Rahmah diperkenal kerajaan semakin mendapat perhatian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini terbuka untuk menjalin kerjasama dengan lebih banyak pihak.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sejak dilaksanakan, inisiatif tersebut mendapat perhatian dan sambutan daripada ramai pihak industri yang secara sukarela menawarkan pakej bersesuaian untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan penyertaan lebih banyak syarikat akan dapat meneruskan lagi inisiatif tersebut.
“Sebenarnya tidak perlu untuk kerajaan mewajibkan (syarikat menyertai inisiatif Payung Rahmah). Inisiatif Payung Rahmah bermula dengan menu Rahmah dan ia mendapat sambutan sehingga hari ini.
“Ada juga pihak bimbang bahawa menu Rahmah hanya bersifat sementara tapi saya yakin dengan program ini, sebenarnya ia terus mendapat dukungan (pihak industri) dan hari ini terbukti AirAsia telah menjadi sebahagian daripada rakan strategik kita dan menjadi keluarga dalam KPDN menangani isu kos sara hidup,” katanya.
Salahuddin sebelumnya ditemui pemberitadi Kuala Lumpur selepas melancarkan Inisiatif Payung Rahmah dengan airasia Superapp.
Airasia Superapp pada Selasa memperkenalkan tiga inisiatif sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap Payung Rahmah KPDN bagi memudahkan perjalanan dan ketersambungan mampu milik rakyat.
Airasia Superapp menawarkan promosi RM1 bagi airasia ride di lima kawasan popular terpilih iaitu Putrajaya dan Cyberjaya; Bukit Bintang; Bandar Sunway; Bangsar South dan Mont Kiara — ia tersedia pada setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 12 tengah hari, untuk 3,000 tempahan pertama setiap hari (tertakluk kepada caj minimum tempahan perjalanan bernilai RM5).
Selain itu, setiap tempahan RM1 airasia ride akan diberi peluang menebus Pakej Rahmah Ride, Fly & Stay dengan pengguna airasia ride itu akan menerima kod promosi RAHMAH50 untuk potongan harga RM50 bagi tempahan hotel dan potongan harga RM50 bagi tempahan penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa melalui platform OTA (ejen pelancongan dalam talian).
Kod promosi RAHMAH50 juga boleh digunakan secara berasingan untuk mendapatkan potongan harga RM50 bagi tempahan tunggal airasia hotel (tertakluk kepada setiap 100 tempahan pertama setiap hari) atau tempahan tunggal penerbangan OTA di airasia Superapp (tertakluk kepada setiap 100 tempahan setiap hari).