Negeri

REE: KEADILAN Kedah gesa Sanusi disiasat

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Kedah menggesa siasatan dijalankan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan berlaku ketirisan dan salah guna kuasa dalam pengurusan projek penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN Kedah, Firdaus Johari dalam satu sidang media berkata, laporan itu dibuat berikutan timbul keraguan terhadap pengurusan projek penerokaan mineral di kawasan tersebut yang bernilai hampir RM60 bilion oleh Perbadanan Menteri Besar (MBI).

“Kita merujuk kepada dua artikel media iaitu ‘Gerakan Anti Sanusi (GAS) serah memorandum berkaitan REE’ pada 2 Mac lepas dan ‘Kerajaan Kedah digesa beri penjelasan isu teroka kecurian REE’ pada 14 Julai lalu.

“Melalui artikel ini, kami mengesyaki berlakunya unsur salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan projek penerokaan REE itu,” katanya.

Firdaus berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media selepas membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah pada Selasa.

Selain itu menurut Firdaus, pihaknya turut merujuk satu ciapan di Twitter oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkaitan satu surat bertarikh 3 Ogos 2020.

Surat itu jelasnya menunjukkan Muhammad Sanusi telah memohon Pas Lawatan Pekerja Asing dari China untuk bekerja di tapak berkeluasan 1,220 hektar di Sik, Kedah yang ditujukan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Bagaimanapun, tindakan Menteri Besar Kedah membuat permohonan ini adalah di luar bidang kuasa kerana sepatutnya permohonan dibuat oleh syarikat yang dilantik,” katanya.

Justeru kata Firdaus, pihaknya bimbang tindakan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu adalah satu bentuk ketirisan kuasa dan terdapat unsur rasuah dari syarikat terlibat.

Mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya salah guna kuasa dan penyelewengan, pihaknya mengesa SPRM melakukan siasatan penuh dan terperinci berhubung aduan salah guna kuasa itu.

Related Articles

Back to top button